MELAKA – Seorang perompak tidak sempat melarikan barangan rumah yang dipecah masuk apabila dia dikesan dan diberkas polis di dalam kediaman itu di Taman Temenggong, Hang Tuah Jaya di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, suspek warga tempatan berusia 54 tahun itu berjaya dicekup pasukan petugas (task force) yang membuat rondaan Op Selamat sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pasukan rondaan menerima maklumat awal daripada Balai Polis Bukit Baru mengenai kejadian sebuah rumah di perumahan terbabit telah dipecah masuk.
“Setiba di lokasi, anggota mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di bahagian dalam di pintu hadapan rumah berkenaan dan cuba melarikan diri.
“Pasukan task force telah mengejar suspek ke tingkat atas kediaman dan berlaku pergelutan sehingga anggota terpaksa menggunakan kekerasan minimum untuk memberkasnya,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan pada tubuh badan suspek menemukan sepasang sarung tangan dan satu lampu suluh yang disimpan di dalam poket seluar dipakai.
“Kesemua barang-barang yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah telah dirampas, termasuk seluar panjang dipakai suspek.
“Kita percayai suspek telah masuk ke dalam kediaman berkenaan dengan cara memotong jeriji besi di bahagian tingkap dapur rumah tersebut,” katanya.
Christopher berkata, suspek kini reman selama enam hari sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – KOSMO! ONLINE