KUANTAN – Pengarah Pusat Khidmat Kontrakor Pahang dihukum penjara sebulan dan denda RM210,000 atas kesalahan menerima suapan berjumlah RM42,000 sebagai dorongan mengeluarkan Sijil Kontraktor Taraf Bumiputera (STB).
Tertuduh, Shaiful Azman Taha, 45, dijatuhi hukuman itu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zain.
Ahmad Zamzani menetapkan hukuman penjara 10 bulan jika tertuduh gagal membayar denda yang ditetapkan.
Shaiful Azman didakwa menerima suapan daripada juruteknik Syarikat NZH Murni Enterprise, Hamdan Mat Hassan pada 21 Disember 2013.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Dalam prosiding itu, Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim memohon hukuman penjara minimum dengan mengambil kira faktor kesihatan dan kesan dialami anak gumanya sepanjang pendakwaan berlangsung.
Mohd Baharuddin berkata, sejak ditahan SPRM pada 2014 sehingga kini, tertuduh mengalami tekanan yang serius dan akan dirujuk ke Jabatan Psikiatri Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada hujung bulan ini.
Katanya lagi, kesan dari pengakuan bersalah yang dibuat, tertuduh akan kehilangan pekerjaan sekali gus hilang semua keistimewaan sebagai penjawat awam selepas 14 tahun berkhidmat seperti pendapatan bulanan, keistimewaan rawatan perubatan, serta pencen.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Rifah Izzati Abdul Mutalif bagaimanapun memohon hukuman setimpal mengambil kira pengakuan bersalah dibuat tertuduh di peringkat pembelaan dengan 22 saksi pendakwaan sudah dipanggil memberi keterangan sejak kes berjalan pada 2018. – KOSMO! ONLINE