KETIKA Kerajaan Perpaduan iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan beberapa parti lain diwujudkan, maka selesai sudah siapa pilihan yang akan memimpin Malaysia untuk lima tahun akan datang.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
UMNO yang berdepan kegagalan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 turut berada dalam pemerintahan Kerajaan Perpaduan dan jawatan kedua tertinggi, Timbalan Perdana Menteri dipegang Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Malah, ada beberapa lagi menteri UMNO turut berada bersama dalam pemerintahan kali ini antaranya Datuk Seri Mohamad Hasan yang memegang jawatan Menteri Pertahanan dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pengajian Tinggi).
Turut dilantik Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Zambry Abd. Kadir (Menteri Luar Negeri) serta Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).
Dengan hanya 30 kerusi Parlimen dimenangi BN pada PRU lalu, gabungan parti UMNO, MCA dan MIC tetap boleh memerintah dan berada dalam kerajaan.
Anthony Loke yang mengemudi Kementerian Pengangkutan dengan beberapa perubahan yang berjaya walaupun dana tidak ditambah dan Hannah Yeoh (Kementerian Belia dan Sukan) walaupun hanya menurunkan harga tiket, mereka dilihat ‘bekerja’.
Agak menyedihkan apabila UMNO dan BN masih bercakaran sesama sendiri, dituduh pengkhianat dan membelakangi keputusan parti.
Rakyat yang memerhati Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) baru-baru ini sudah muak dan sedih dengan episod drama yang masih berlaku antara pemimpin-pemimpin parti.
Bukan itu sahaja, media sosial juga dipenuhi dengan kata mengata dalam kalangan pemimpin UMNO bagi memperbetulkan kebenaran masing-masing.
Sedangkan media sosial yang menjadi kekuatan PH dan Perikatan Nasional (PN) mendapat sokongan rakyat, hal itu diakui Ahmad Zahid bahawa mereka tidak kuat di media sosial dalam ucaptamanya PAU2022.
Mungkin rakyat tidak faham apa yang direncanakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, tetapi tidak terfikirkah mengapa mereka ditolak pengundi?
Datuk Seri Hishammuddin Hussin yang kesal dituduh pengkhianat kerana menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan UMNO bahawa rakyat muak dengan cara pemimpin parti berbalah.
Beliau kecewa apabila PAU2022 dijadikan platform pemimpin bercakaran dan menyalahkan antara satu sama lain.
“Saya nak ingatkan semua pihak, orang di luar sana sudah muak, bosan dengan cara kita berbalah, bertelagah, menuduh sesama kita kerana penting untuk parti lihat ke hadapan.
“Kita akan berdepan dengan Pilihan Raya Negeri. Kita sudah kalah dalam PRU. Saya harap apa yang kita dapat bincangkan dalam PAU tahun ini ialah hala tuju dan cara bagaimana dapat mengurangkan jurang kepercayaan orang ramai terhadap parti dan perjuangan.
“Itu lebih baik daripada menggunakan platform PAU untuk bercakaran, berbalah sesama kita, tuduh-menuduh sesama kita, serang-menyerang sesama kita. Cukup-cukuplah,” katanya.
Ketika ini, rakyat sedang menilai siapa bekerja dan siapa yang tidak. Tidak mustahil UMNO akan menjadi sejarah jika lima tahun ini episod berbalah sesama sendiri masih dimainkan. -KOSMO! ONLINE