PERSATUAN Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) meletakkan harapan tinggi kepada tiga atlet podium negara untuk memburu slot ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit.
Ketika ini, NSAM hanya menyenaraikan tiga atlet terbaiknya iaitu Nurul Syasya Nadiah Mohd. Arifin, Guanjie Johnathan Wong dan Alia Sazana Azahari untuk berada dalam program podium sehingga Olimpik Paris 2024.
Bagi merealisasikan impian tersebut, NSAM merancang agar barisan atlet negara akan menyertai kesemua enam kejohanan Piala Dunia yang diadakan pada tahun ini dan juga Kejohanan Dunia di Baku Azerbaijan (Ogos) selain Kejohanan Asia di Changwon, Korea Selatan pada Oktober.
Setiausaha NSAM, Mejar (B) Jasni Shaari berkata, untuk memastikan peluang ke Olimpik mampu direalisasikan, atlet negara perlu menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik bagi mencerahkan peluang memenangi pingat.
“Setakat ini, tiga orang itu yang terbaik kita ada dan kemungkinan yang baharu atlet muda memerlukan dua tiga tahun lagi untuk naik sampai ke tahap mereka.
“Jadi buat setakat ini, tiga orang ini dijamin mampu lakukan terbaik. Namun, tidak tahu sekiranya masa terdekat nanti ada lagi muka-muka baharu akan bersama kita.
“Apa pun, kita akan jaga tidak kira kejohanan tempatan atau antarabangsa. Perkara paling penting adalah kita merancang untuk menghantar ke semua kejohanan penting yang menawarkan slot ke Olimpik,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (JKK) hari ini.
Untuk rekod, Jonathan beraksi dalam acara 10 meter (m) air pistol, manakala Alia Sazana pula 25m air pistol dan Nurul Syasya 10m air pistol.
Jasni berkata, NSAM berharap ketiga-tiga atlet berkenaan menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik pada Kejohanan Menembak Piala Dunia Jakarta, Indonesia yang bermula esok hingga 7 Februari 2023.