LONDON – Syarikat penstriman video, Netflix berkemungkinan disaman oleh para peserta program realiti Squid Game anjurannya kerana mendakwa mereka dilayan seperti haiwan, lapor akhbar The Sun semalam.
Sebilangan besar pemain memberitahu akhbar itu bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk menyaman Netflix yang merakam pertandingan realiti televisyen tersebut di Studio Cardington Studios iaitu bekas pangkalan Tentera Udara Diraja British berhampiran Bedford, England.
Para peserta berkata, permainan itu yang dihasilkan berdasarkan drama bersiri popukar Korea Selatan, Squid Game, telah menjadi ‘mimpi ngeri’ apabila mereka dipaksa berdiri selama berjam-jam dalam suhu -3 darjah Celcius.
“Kami diseksa selama lapan jam. Anda tidak akan memperlakukan haiwan seperti itu. Saya tahu program itu sepatutnya sukar tetapi ia seperti tidak berperikemanusiaan,” kata seorang peserta.
Tambah peserta lain, seorang wanita pengsan semasa sesi rehat dalam permainan itu manakala The Sun diberitahu sejumlah pemain meninggalkan Britain dan menangis selepas penggambaran untuk perlawanan pertama.
Netflix sebelum ini menjemput 456 orang untuk bersaing dalam program itu bagi merebut hadiah berjumlah £3.7 juta (RM19.48 juta).
Syarikat itu bagaimanapun menafikan bahawa ada peserta yang cedera parah semasa permainan tetapi menjelaskan tiga orang memerlukan bantuan perubatan ringan. – Agensi