fbpx

MyIPO sedia RM2 juta Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin (tengah) bergambar bersama para penerima dana selepas melancarkan simbolik pelancaran Dana IP dan Pemfailan Harta Intelek 2.0 di Dewan Serbaguna KPDN di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyediakan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM2 juta menerusi inisiatif Daya Kreatif yang dilancarkan hari ini.

Dana itu dijangka memberi manfaat kepada 2,000 usahawan terutamanya dari sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang merangkumi pembiayaan fi bagi kesemua pemfailan komponen harta intelek termasuk kos kerja.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, menerusi dana itu, kerajaan akan membiayai kos pemfailan cap dagangan, paten, hak cipta, reka bentuk perindustrian dan petunjuk geografi.

“Kepada semua usahawan, saya menyeru supaya anda mengambil iltizam dan tanggungjawab untuk melindungi harta intelek yang dimiliki agar tiada pihak yang mengambil kesempatan dan mendatangkan kerugian kepada pemilik sebenar.

“Adalah diharapkan dana ini dapat membantu meringankan beban usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing melalui perlindungan harta intelek dan merangsang ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Daya Kreatif: Pemfailan Harta Intelek 2.0 Tahun 2023 di sini, hari ini.

Sebelum ini, MyIPO turut menawarkan dana sama pada 2016 sehingga 2020 berjumlah RM2.5 juta membabitkan seramai 1,465 usahawan sebagai penerima manfaat.

Permohonan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 itu boleh dibuat secara dalam talian atau hadir ke ibu pejabat dan cawangan MyIPO berhampiran.

Dalam pada itu, Salahuddin turut menyentuh mengenai situasi penggiat seni di negara ini khususnya artis-artis lama yang tidak mendaftarkan hasil karya mereka sehingga terpaksa menanggung kerugian akibat tidak menerima bayaran royalti yang sepatutnya.

“Saya mengambil iktibar daripada rakan artis khusunya di peringkat awal kemerdekaan yang mana pada hari ini menghadapi masalah untuk mendapatkan habuan dan bayaran royalti. Ramai di kalangan mereka ini hidup susah termasuk keluarga mereka yang mungkin pada waktu itu kurang kesedaran untuk daftarkan hasil karya mereka.

“Adalah penting supaya harta intelek ini bukan sekadar dapat dilindungi undang-undang tetapi hak mereka itu dapat memberi jaminan kepada generasi akan datang. Kementerian juga sentiasa membuka pintu untuk membantu dan memudah cara seterusnya menyediakan dana untuk memfailkan hasil karya mereka,” ujarnya.

Untuk rekod, MyIPO merekodkan sebanyak 329,917 permohonan harta intelek daripada dalam dan luar negara sepanjang tahun lalu dengan 128,822 merupakan permohonan harta intelek tempatan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI