fbpx

MOTAC perlu campur tangan atasi lonjakan kos umrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im ketika bercakap pada sidang akhbar mengenai Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Tahun 2022 di Wilayah Persekutuan di Hotel Everly, Putrajaya di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sekali lagi diminta agar segera ‘campur tangan’ bagi menangani isu lonjakan kos umrah sejak awal tahun ini.

Perkara tersebut ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar susulan rungutan jemaah umrah mengenai kos ibadah itu.

“Dalam urusan haji, ia memang pun dalam bidang kuasa Tabung Haji (TH) dan pihak saya, tetapi konteks umrah, MOTAC wajar buat rundingan terus dengan Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung isu kenaikan kos umrah pada sidang akhbar Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat Wilayah Persekutuan 2022, di sini hari ini.

Akhbar Kosmo! pada 9 Januari lalu melaporkan kenaikan caj penginapan hotel di Mekah dan Madinah sehingga 110 peratus ekoran trend permintaan tinggi jemaah warga asing.

Ini diakui oleh Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) dan mendakwa ia susulan pembukaan sempadan banyak negara pasca pandemik Covid-19.

Lonjakan kadar itu malah naik mendadak selepas tamat musim haji tahun lalu disebabkan trend permintaan melebihi penawaran untuk hotel di tanah suci yang makin bertambah.

Mengulas lanjut, Mohd. Na’im menjelaskan bahawa isu kos umrah ada dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah.

“Kenaikan harga bilik dan segala caj di tanah suci turut melibatkan jemaah seluruh dunia dan menteri tersebut mengakui ia di luar kawalan kerajaan Arab Saudi sendiri,” tegasnya.

Sehubungan itu ujar beliau, pihak MOTAC seharusnya mengadakan perbincangan dengan para pemilik hotel di sana supaya lebih bertimbang rasa untuk menurunkan kadar harga. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI