THE HAGUE, BELANDA – Pasukan penyiasat antarabangsa akan mendedahkan hasil siasatan yang dilakukan terhadap ‘beberapa pihak lain’ berhubung nahas penerbangan Malaysia Airlines, MH17 yang ditembak jatuh di ruang udara Ukraine selepas tiga suspek didapati bersalah tahun lepas.
Hasil siasatan itu akan mengenal pasti dalang sebenar yang melancarkan peluru berpandu dan menembak jatuh MH17 pada 2014 serta siapa yang membekalkan misil buatan Russia yang digunakan.
Dua warga Russia dan seorang rakyat Ukraine dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dalam perbicaraan tanpa kehadiran mereka oleh sebuah mahkamah Belanda pada November tahun lalu. Mereka didapati tidak menekan picu untuk melancarkan serangan dan hanya membantu membawa peluru berpandu BUK tersebut ke Ukraine.
“Namun, dalam satu sidang akhbar yang bakal diadakan di The Hague pada 8 Februari ini, kami akan mendedahkan keputusan siasatan berterusan mereka terhadap beberapa pihak lain yang terlibat menembak jatuh pesawat MH17,” kata Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) dalam satu kenyataan.
Tambahnya, waris kesemua mangsa tragedi MH17 akan dimaklumkan mengenai keputusan itu terlebih dahulu.
“Selain siasatan terhadap penglibatan Republik Rakyat Donetsk, JIT turut menyiasat kru BUK-TELAR dan pihak yang bertanggungjawab membekalkan sistem persenjataan Russia tersebut yang digunakan untuk menembak jatuh MH17,” kata kenyataan sama.
Dalam kejadian pada 17 Julai 2014, kesemua 298 penumpang termasuk kru terbunuh apabila pesawat Boeing 777 MH17 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di ruang udara wilayah Donetsk yang dikawal puak pemisah pro-Russia di Ukraine. – AFP