JELEBU – Seorang lelaki yang ditangkap tertidur di sebuah rumah penduduk di Bahau, Jempol dekat sini tiga hari lalu mengaku tidak bersalah atas tuduhan menceroboh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, B Raman, 41, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Norshazwani Ishak.
Raman didakwa menceroboh sebuah rumah penduduk pada pada 23 Januari lalu, pukul 6.30 pagi di Taman Tanjung Bahau, Jempol,
Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM 5,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh mempunyai banyak rekod jenayah.
Bagaimanapun, tertuduh seorang buruh merayu diberikan jaminan kerana menjaga ibunya yang sakit.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM16,000 dengan dua penjamin dalam kalangan ahli keluarga berserta syarat tambahan lain. Sebutan semula kes ditetapkan 22 Februari ini.
Kelmarin, Kosmo! melaporkan seorang warga emas terkejut apabila mendapati lelaki yang terbaring di tengah rumahnya rupa-rupanya pencuri yang terlelap. – KOSMO! ONLINE