fbpx

Izzuddin, Sze Fei pilih untuk berpisah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI (kanan) dan Nur Izzuddin mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing meskipun sudah dipujuk oleh BAM.

PERSOALAN mengenai masa depan beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei akhirnya terlerai selepas gandingan No.11 dunia itu mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing.

Meskipun sudah dipujuk barisan kejurulatihan dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), namun juara kejohanan Terbuka Jerman tahun lalu itu tetap dengan pendirian untuk tidak meneruskan gandingan.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menjelaskan, pihaknya tidak bersetuju dengan kemahuan kedua-dua pemain tersebut, namun terpaksa mengambil langkah menghormati keputusan itu.

“Kita di pihak BAM dan barisan kejurulatihan sudah cuba sedaya upaya bagi memastikan mereka terus kekal bermain bersama tetapi mereka yang memilih keputusan untuk tidak bergandingan lagi.

“Maksudnya di sini, bukan kita bersetuju dengan keputusan tersebut, namun mereka sendiri yang tidak mahu lagi bermain bersama sebagai beregu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, prestasi Izzuddin-Sze Fei dilihat menunjukkan penurunan agak ketara selepas mereka tersingkir di pusingan pertama dua kali berturut-turut pada kejohanan Terbuka Malaysia dan Terbuka India.

Keputusan yang kurang memberangsangkan itu sekali gus memaksa badan induk sukan badminton negara mengambil keputusan untuk tidak menghantar dua pemain tersebut ke kejohanan Indonesia Masters yang sedang berlangsung ketika ini.

Sementara itu, Rexy turut berkata, beliau akan berbincang dengan barisan kejurulatihan dalam usaha mengenal pasti pemain terbaik yang bakal membentuk gandingan baharu bersama Izzuddin dan Sze Fei.

Tindakan kedua-dua pemain itu untuk tidak meneruskan gandingan dilihat sebagai tamparan hebat buat BAM memandangkan Izzuddin-Sze Fei dianggap prospek untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 tahun depan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI