SHAH ALAM – Seorang pemilik sebuah syarikat dan ketua penyelianya ditahan selepas disyaki membuat tuntutan palsu lebih RM60,000 bagi kerja perkhidmatan pembersihan sebuah bangunan kerajaan di Kuala Lumpur, selama dua tahun.
Menurut sumber, kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia 30an dan 50an ditahan kira-kira pukul 6.30 petang tadi ketika hadir memberikan keterangan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Katanya, mereka dipercayai mengemukakan dokumen tuntutan palsu bagi tahun 2020 hingga 2022 membabitkan kontrak bernilai lebih RM4.2 juta.
“Berdasarkan pemeriksaan awal mendapati tuntutan lebih RM60,000 itu berkaitan gaji, tuntutan lebih masa pekerja dan pembersihan.
“Bagaimanapun didapati pekerja-pekerja tersebut tidak bekerja di syarikat berkenaan,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Suspek lelaki akan dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret di sini esok.
“Manakala, suspek wanita itu dilepaskan dengan jaminan SPRM atas faktor kesihatan,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE