PUTRAJAYA – Tiga individu termasuk dua beradik direman selama tiga hari kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu melibatkan pembelian kertas pencetak haba (thermal printer) bernilai lebih RM400,000.
Perintah reman sehingga 28 Januari yang bermula hari ini dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
Menurut sumber, pasangan adik-beradik lelaki berusia 40-an hingga 50-an itu merupakan pengarah di sebuah syarikat tersenarai awam dan dipercayai bersubahat bersama seorang lagi suspek wanita berusia 40-an yang juga pengarah di sebuah syarikat lain.
“Pasangan adik-beradik itu dipercayai bersubahat membuat sebanyak 16 pembayaran kepada wanita berkenaan yang mengemukakan tuntutan palsu sejak tahun 2020,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM malam tadi dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE