fbpx

Banjir: 5,455 mangsa banjir di Johor berlindung di PPS, Pontian daerah baharu terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN penyelamat memantau dan memindahkan mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir di Kampung Sri Gambut, Pekan Nenas, Pontian, Johor.

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat apabila seramai 5,455 mangsa ditempatkan di 55 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di seluruh Johor setakat pukul 8 pagi, hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, mereka yang terjejas terdiri daripada sejumlah 1,508 buah keluarga.

Menurut beliau, kini terdapat tujuh daerah terjejas akibat banjir iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Muar dan Batu Pahat.

“Segamat menjadi daerah terjejas teruk akibat banjir dengan seramai 1,801 penduduk terjejas akibat banjir yang ditempatkan di 21 buah PPS dibuka di daerah berkenaan.

“Ini diikuti dengan daerah Kluang iaitu seramai 1,256 mangsa; Mersing (1,153); Kota Tinggi (738 mangsa); Batu Pahat (272 mangsa); Muar (217 mangsa) dan Pontian (18 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, antara PPS yang dibuka di seluruh negeri ini termasuklah PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas; Dewan Pusat Banjir Jakoa; Dewan Serbaguna Pekan Air Panas; Dewan Komuniti Tasek dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan dua daerah di negeri ini di bawah Amaran Hujan Berterusan tahap bahaya iaitu Mersing dan Kota Tinggi, manakala daerah Segamat, Kluang, Kulai dan Johor Bahru dalam tahap buruk.

“Tiga sungai di negeri ini masih diletakkan dikategori bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas, Sungai Kahang di Kampung Contoh dan Sungai Endau.

“Dalam pada itu, empat jalan telah ditutup sementara akibat dinaiki air iaitu Jalan Jemaluang-Batu Pahat; Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu; Jalan Tanah Abang dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai akibat tanah runtuh,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI