BERLIN – Semua pesawat yang dijadual berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Berlin Brandenburg, Jerman telah dibatalkan atau dijadualkan semula semalam, akibat mogok pekerja berhubung pertikaian gaji, lapor laman berita Wion News.
Sekurang-kurangnya 300 penerbangan dan seramai 35,000 penumpang yang dijadualkan menggunakan lapangan terbang itu terjejas.
Ia merupakan kali pertama sejak 2018 di mana mogok pekerja telah menyebabkan sebegitu banyak pembatalan penerbangan.
Mogok bermula pukul 3.30 pagi (waktu tempatan) apabila sebilangan pekerja berkumpul di hadapan bangunan terminal utama lapangan terbang untuk mengadakan piket yang dirancang berlangsung sepanjang hari.
Sementara itu, syarikat-syarikat penerbangan telah menjadualkan semula beberapa penerbangan hari ini dan beberapa penerbangan dialihkan ke lapangan terbang lain di Dresden dan Leipzig.
Kesatuan sekerja menyeru kakitangan lapangan terbang dalam perkhidmatan darat, keselamatan penerbangan dan syarikat lapangan terbang untuk menyertai mogok berhubung pertikaian gaji disebabkan ‘kemajuan yang tidak mencukupi dalam rundingan’.
Sebanyak 1,500 pekerja dijangka mengambil bahagian dalam mogok, kata kesatuan pekerja sebelum ini.
Menurut Enrico Ruemker, yang merupakan wakil kesatuan sekerja Verdi yang menganjurkan mogok, syarikat lapangan terbang itu telah mencadangkan tempoh dua tahun untuk kenaikan gaji sebanyak tiga peratus pada 1 Jun dan tambahan dua peratus pada 1 Mei 2024.
Bagaimanapun, kesatuan sekerja menuntut 12 bulan kontrak perundingan kolektif di mana pekerja lapangan terbang dan perkhidmatan pengendalian darat akan menerima kenaikan gaji bulanan sebanyak AS$540 (RM2,295). Sebaliknya, majikan telah mencadangkan kontrak yang lebih lama.
“Kami berharap tekanan itu mencukupi. Apabila anda melihat betapa tingginya kadar inflasi dan menganggap bahawa rakan sekerja dari kawasan ini tidak mempunyai kenaikan gaji selama bertahun-tahun, tawaran ini sudah tentu satu tamparan untuk mereka,” tambah Ruemker. – Agensi