GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Pos Gob di sini berdepan kesukaran selepas jalan perhubungan keluar dan masuk rosak lebih enam bulan lalu.
Penduduk bukan sahaja tidak dapat menghantar anak ke sekolah, malah mereka sukar untuk mendapatkan bantuan perubatan bulanan dan membeli bekalan makanan selepas jalan perhubungan balak rosak teruk akibat cuaca hujan.
Seorang penduduk Kampung Tembaga, Pos Gob, Nordin Pandak, 55, berkata, motosikal penduduk juga rosak selepas kerap digunakan untuk meredah jalan berselut tebal.
Katanya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa berjalan kaki dan menyeberangi sungai untuk ke Kampung Gob.
“Penduduk mengambil risiko menyeberangi sungai dengan motosikal untuk bergerak ke kampung seberang bagi melakukan urusan harian.
“Meskipun sedar laluan itu berbahaya, namun kami terpaksa bergadai nyawa kerana hanya laluan balak itu jalan perhubungan kami,” katanya.
Seorang suri rumah, Rohani Adik, 32, pula berkata, anak sulungnya, Noraini Adi, 13, tidak dapat ke sekolah menengah di bandar Gua Musang sekiranya keadaan jalan masih rosak teruk.
Justeru katanya, anaknya hanya belajar sendiri di rumah.
“Saya risau memikirkan nasib anak sulung yang akan menyambung persekolahan di tingkatan satu.
“Saya harap pihak kerajaan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli boleh membantu dengan menyediakan pengangkutan udara kepada anak kami untuk ke sekolah,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Amoi Along, 60, berkata, kebanyakan warga emas di kampung itu terputus bekalan ubat selama dua bulan ekoran keadaan jalan darat yang tidak dapat dilalui oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Ujar, sebelum ini, pasukan KKM tidak dapat masuk ke Pos Gob untuk menghantar ubat kerana jalan balak rosak dan terpaksa berpatah balik apabila sampai di Sungai Blaer.