KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel mengakui golongan suami perlu bersifat dominan dalam mana-mana perhubungan terutama perkahwinan.
Bagaimanapun, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari menegaskan, kaum wanita perlu diberi ruang dan peluang untuk melontarkan pendapat mereka dalam sebarang perbincangan hubungan suami isteri.
“Dominan perlu bertempatlah. Kadang-kadang untuk pemilihan contohnya macam produk, saya rasa isteri (Wawa) lebih pandai dalam bab tersebut.
“Dalam bab kreativiti kadang-kadang, saya lagi bagus. Kalau saya cakap sekian sekian, Wawa memang takkan lawan.
“Jadi, masing-masing ada alpha (sisi dominan) tersendiri. Saya selalu marah Wawa contoh benda belum tanya, tapi dia dah buat. Apapun, bergantung kepada keadaan. Hubungan suami isteri kena ada ‘give and take’,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.
Aeril, 35, berpendapat, kebanyakan masa memang kaum lelaki yang perlu dominan atau alpha dan perkara tersebut tidak boleh disangkal.
“Siapa dominan siapa, bergantung kepada apa yang kita kerjakan atau bincangkan. Tapi, sebagai suami, mestilah kita selalu dominan.
“Waima ketika ‘meeting’ di pejabat, Wawa duduk di kerusi besar (bos), saya duduk di sebelah sahaja. Duduk dengan staf di bahagian tepi. Saya bagi dia nak rasa dominan di situ.
“Sebenarnya, benda itu (jadi dominan) tak perlu bangga pun. Janganlah kita rasa kita kawal isteri. Saya rasa benda sebegitu tak perlu dibanggakan pun.
“Saya rasa apa yang perlu kita banggakan adalah kejayaan bersama sebagai suami isteri. Maknanya, saling bertoleransi dan yang paling penting adalah, bagaimana nak pertahankan sesebuah hubungan itu,” ujarnya lagi.
Terdahulu, suami pelakon popular Fatin Afeefa iaitu Aliff Awang menerima kecaman apabila dia mengakui dirinya seorang lelaki dominan atau alpha male.
Dia mengakui, bukan dirinya yang mengurat Fatin sebaliknya usaha tersebut datang banyak daripada isterinya.
“Kalau kalian jadi lelaki dominan, alpha male atau jadi lelaki yang tahu apa dia nak dalam kehidupan dan tidak menggunakan emosi dalam membuat sesuatu keputusan, perempuan akan tertarik,” katanya dalam satu muat naik video. – KOSMO! ONLINE