PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengakui tumpuan utamanya ketika ini adalah soal menangani kenaikan harga barang dan gaji kerana ia merupakan fokus utama rakyat ketika ini.
Menurutnya, walaupun tugas itu tidak nampak begitu besar, namun dua isu itu memberi kesan yang sangat besar kepada rakyat secara keseluruhannya.
“Ada yang bertanya kenapa Kementerian Ekonomi cerita pasal harga barang, selalunya kalau orang cakap pasal kementerian ini cerita projek besar, unjuran 10 tahun dan sebagainya.
“Namun, bagi rakyat, perkara ekonomi yang paling penting bagi mereka adalah dua perkara sahaja iaitu soal harga barang dan juga gaji,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Ditanya sama ada pihak pembangkang akan membawa usul kos sara hidup dan inflasi pada sidang Parlimen bulan depan, Rafizi berkata, ia terpulang kepada mereka.
Katanya, jika pembangkang ingin memainkan isu inflasi dan harga barang, ia terpulang kepada mereka malah, rakyat sudah bijak menilai berdasarkan apa yang sudah berlaku sejak setahun lalu. – KOSMO! ONLINE