PETALING JAYA – Sungai Keratong di Jambatan Bahau, Keratong, Rompin melebihi aras bahaya setakat pukul 4.45 petang tadi.
Menerusi laman Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berkata, aras air sungai tersebut iaitu 23.37 meter telah melebih tahap bahaya sebanyak 0.37 meter dan menunjukkan trend menaik.
Ujarnya, beberapa sungai lain di Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak juga menunjukkan aras air telah melebihi tahap amaran.
“Di Negeri Sembilan iaitu Sungai Gemas di Kampung Tiong, Tampin dan di Sabah iaitu Sungai Bandau di Bandau, Kudat, masing-masing menunjukkan trend peningkatan dan telah melebihi aras amaran.
“Sungai-sungai di Sarawak juga iaitu Punan Bah B, Kapit, Benawa, Miri, Kuala Balingian, Mukah dan Sungai Similajau, Bintulu juga telah melebihi aras amaran,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di lima negeri, hari ini.
MetMalaysia menerusi kenyataan di laman sesawangnya berkata, hujan lebat berterusan kategori bahaya dikeluarkan di beberapa kawasan sekitar negeri Johor dan Sabah.
Ujarnya, amaran hujan berterusan kategori buruk pula telah dikeluarkan di beberapa daerah di Pahang, Melaka, Sarawak dan Sabah.
Amaran bahaya dikeluarkan apabila aras air sungai mula melimpah dan boleh menyebabkan banjir. Perpindahan perlu dilaksanakan jika perlu. – KOSMO! ONLINE.