KEMAMAN – Seorang wanita yang dikenali sebagai Dhia Fadhila kecewa apabila mendakwa menerima roti burger yang sudah berkulat serta ayam goreng mentah dari sebuah restoran makanan segera terkenal di daerah ini semalam sekitar pukul 6.30 petang.
“Berasa nak makan ayam (goreng) tapi ini yang saya dapat dengan harga dibayar. Roti keras kejung dan berkulat.
“Ayam (goreng) pula tidak masak, berbau macam (stok) lama. Kecewa rasanya,” dakwanya dalam status Facebook yang dimuat naik malam tadi.
Luahan Dhia Fadhila dalam perkongsian tersebut mendapat reaksi ramai yang turut mendakwa pernah merasai pengalaman buruk sama apabila membeli di premis makanan segera terkenal berkenaan.
Seorang netizen dikenali sebagai Nanie Erieyka mendakwa dia juga pernah terbeli kentang putar berlendir dari premis makanan segera sama.
Selain itu, ramai netizen juga menasihatkan Dhia Fadhila membuat aduan rasmi berhubung kualiti makanan diperolehinya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE