PETALING JAYA – Tidak pernah lelah, pendakwah bebas, PU Syed sekali lagi menyeru orang ramai bersama-sama membantah penganjuran konsert kumpulan K-pop popular global, Blackpink yang akan berlangsung di ibu negara, 4 Mac depan.
Syed atau nama sebenarnya, Syed Mohd. Bakri Syed Ishak Benyahya berkata, perkara tersebut perlu dicanang agar maksiat dalam negara tidak terus berleluasa.
“Saya menyeru semua umat Islam agar sama-sama kita melakukan usaha membantah dan menentang sepenuhnya atas penganjuran konsert yang mengarut ini.
“Sekat mereka daripada hadir. Cukuplah maksiat bermaharajalela, berleluasa, berlaku. Cara pemakaian, cara hidup dan cara berhibur semakin lama, semakin melampau,” getusnya menerusi satu hantaran status dalam Instagram.
Syed yang memiliki 145,000 pengikut Instagram berkata, tidak kira negara dipimpin mana-mana kerajaan sekalipun, adalah menjadi satu kewajipan membantah perkara yang bersihat lagha.
“Jika 2019 pernah dicadang nak bawa BTS walaupun tak berjaya, kini Blackpink pula.
“Saya dah lancarkan bantahan terhadap penganjuran konsert ini sejak Oktober 2022 lagi. Tak kira kerajaan mana yang mentadbir, pihak mana yang mengurus, bantah tetap bantah,” coretnya.
Blackpink yang dianggotai empat wanita iaitu Kim Ji-soo, Jennie Kim, Rosanne Park dan Lalisa Manoban dijadual mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 4 Mac di Stadium Nasional Bukit Jalil bersempena persembahan jelajah, Blackpink Born Pink World Tour.
Terdahulu sekitar 2019, Syed juga membantah usaha membawa masuk kumpulan BTS bagi mengadakan konsert di negara ini dan menyifatkan mereka sebagai syaitan yang menyesatkan manusia khususnya umat Islam. – KOSMO! ONLINE