SUNGAI PETANI – Suasana di kawasan pesisir Pantai Pulau Sayak di Kota Kuala Muda dekat sini bagaikan pesta apabila menjadi tumpuan orang ramai untuk mencari siput gayam yang terdampar di pantai itu sejak Ahad lalu.
Ia susulan fenomena air surut kali ini yang berlaku ketika kebanyakan penduduk bercuti sempena Tahun Baharu Cina.
Tinjauan di sekitar pesisiran pantai Pulau Sayak semalam mendapati, kawasan tersebut dipenuhi pengunjung yang datang untuk mencari siput gayam seawal pukul 7 pagi.
Terdapat juga ibu bapa yang memanfaatkan hari terakhir cuti sekolah untuk membawa anak-anak berkelah dan beriadah sambil mencari siput.
Seorang penduduk dari Bandar Puteri Jaya di sini, Zuraida Omar, 53, berkata, dia bersama suami, Azman Mat, 57, serta tiga orang jiran keluar rumah seawal pukul 7.30 pagi untuk mencari siput gayam di situ.
“Hari ini, (Selasa) adalah hari ketiga saya dan suami datang cari siput di sini sebagai juadah makan tengah hari atau makan malam, jika hasil banyak kami akan agihkan kepada jiran-jiran.
“Biasanya saya akan dapat hasil kira-kira empat hingga lima kilogram (kg) siput gayam untuk dibawa balik,” ujarnya.
Seorahg penduduk dari Tikam Batu dekat sini, Rohani Ali, 47, berkata, dia bersama ahli keluarga yang pulang bercuti dari Kuala Lumpur datang seawal pukul 7 pagi untuk mencari siput tersebut.
“Memang seronok dapat luangkan masa bersama keluarga sambil beriadah mencari siput untuk dijadikan juadah makan seisi keluarga nanti.
“Siput gayam rasanya sedap dan sesuai dimasak shell out atau masak lemak cili api,” katanya.
Seorang suri rumah, Norma Mat, 54 pula berkata, pengalaman pertama mencari siput gayam beberapa tahun lalu membuatkan dia ketagih untuk datang lagi setiap kali air surut.
“Saya rasa seronok dapat luangkan masa beriadah di sini dan akan datang ke sini setiap kali musim mencari siput seperti ini tiba,” katanya.