PETALING JAYA – Pengarah drama terkenal, Shahrulezad Mohameddin menyuarakan pendapat bahawa stesen televisyen sering menggunakan elemen ‘drama’ dalam sesebuah rancangan realiti semata-mata untuk menaikkan jumlah tontonan.
Menerusi satu entri yang dimuat naik dalam Instagramnya, Shahrulezad atau lebih dikenali sebagai Budak Ijat pelik dengan budaya menjatuhkan maruah yang sering terjadi dalam sesebuah rancangan realiti.
“Kenapa mesti budaya ‘menjatuhkan maruah’ seseorang tidak kira sama ada dia penyanyi baharu atau lama perlu dijadikan kemestian?
“Semakin ramai orang kecam dan hentam Mas Idayu atau Sissy Imann, semakin banyak stesen suka. Dari situ mulalah jumlah tontonan berdesup naik. Persetankan dengan prestij sesuatu pertandingan kerana minggu hadapan jumlah tontonan rancangan akan naik,” katanya.
Walaubagaimanapun, Budak Ijat tidak menyalahkan Mas Idayu yang memberikan komen ‘pedas’ kepada peserta sebaliknya meminta penonton untuk hentikan kecaman berlebihan terhadapnya.
“Musim hadapan Mas Idayu tetap akan dipanggil menjadi juri dengan bayaran yang lebih mahal (tidak menyalahinya) kerana mungkin dia sahaja yang paling handal mencetuskan drama dalam pertandingan.
“Sejujurnya, saya tidak menyalahkan Mas Idayu kerana saya faham fungsi dia dalam rancangan tersebut.
“Namun, cuma mahu pesan kepada penonton untuk memahami dan tidak perlu untuk mengecam dia secara berlebihan,” tulis pengarah berpengalaman itu.
Meskipun ramai yang mengecam Mas Idayu, Budak Ijat membuat andaian sekiranya perkara yang terjadi merupakan cara Sissy untuk mempromosikan albumnya.
“Silap-silap Sissy merajuk dan pura-pura tidak mahu lancarkan album adalah satu drama juga.
“Sissy bijak mengambil kesempatan di atas rasa ‘terhina’ untuk publisiti album baharunya,” ujarnya.
Bagi pengarah drama popular Nur itu, biarpun drama sebegini sering terjadi dalam rancangan realiti, dia berharap stesen televisyen tidak menggunakan ‘drama murahan’ sebegini sehingga menenggelamkan bakat sedia ada.
“Jadi, itni adalah situasi menang-menang sebenarnya. Cuma persoalannya, adakah drama-drama subplot ini perlu untuk pertandingan nyanyian seperti ini?
“Apa ertinya pertandingan nyanyian yang semakin berlambak kalau objektif untuk meraikan bakat ditenggelamkan dengan drama seperti ini?
“Kalau ikutkan stesen televisyen, rancangan berita pun kalau boleh mereka mahu masukkan elemen drama tarik-tarik rambut antara pembaca berita. Barulah orang tengok berita,” ujarnya.
Sebelum ini, nama Mas Idayu memanas selepas didakwa memberi kritikan ‘membunuh’ terhadap persembahan Sissy dan Naim dalam Famili Duo apabila mereka dikatakan gagal membawakan lagu Jampi dalam versi keroncong dengan baik.
Usai persembahan, Sissy menangis di pentas setelah menerima komen juri dan kemudian dia membatalkan pelancaran album sulung yang sepatutnya berlangsung pada bulan hadapan selepas hilang rasa teruja.
Bagaimanapun, Mas Idayu selaku juri berpengalaman pula menyifatkan teguran dibuat atas dasar tanggungjawab terhadap amanah diberikan produksi, selain ingin melihat kejayaan daripada pasangan sepupu itu. – KOSMO! ONLINE