PETALING JAYA – 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd (7-Eleven) memohon maaf atas tindakan seorang pekerjanya yang tular gara-gara membersihkan ketuhar gelombang mikro menggunakan mop lantai.
Di dalam satu kenyataannya semalam, 7-Eleven berkata, ia merupakan pelanggaran yang jelas terhadap protokol sanitasi dan tidak mencerminkan standard tinggi yang dikekalkan di semua kedai.
“Kami memahami kepentingan mengekalkan persekitaran yang bersih dan selamat untuk pelanggan kami, dan kami memberi jaminan kepada anda bahawa tindakan segera telah diambil ke atas kakitangan untuk memastikan perkara ini tidak berulang.
“Kami kesal atas sebarang kesulitan atau kebimbangan yang mungkin disebabkan oleh ini, dan kami menghargai sokongan berterusan anda,” katanya.
Terdahulu kecoh di media sosial apabila seorang pekerja menggunakan cara ‘kotor’ untuk membersihkan peralatan memanaskan makanan di kedai tersebut.
Menerusi beberapa keping gambar yang dimuat naik di akaun Twitter @AshrafChak, dilihat pekerja berkenaan bertindak memasukkan mop lantai ke dalam ketuhar gelombang mikro untuk membersihkannya.
Ketuhar gelombang mikro tersebut kebiasannya digunakan oleh pelanggan bagi memanaskan makanan yang dibeli dari kedai serbaneka tersebut. – KOSMO! ONLINE