fbpx

Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau ditutup ekoran berlaku tanah runtuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JALAN Sungai Tiram-Ulu Tebrau, Kulai, Johor ditutup kepada semua kenderaan ekoran kejadian tanah runtuh.

KULAI – Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau (J08) yang menghubungkan Seelong dan Felda Ulu Tebrau, di sini ditutup berikutan kejadian tanah runtuh di bahu jalan terbabit akibat hujan lebat yang berterusan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kulai memaklumkan, notis penutupan jalan menghala ke Kota Tinggi itu ditutup buat sementara waktu kepada semua kenderaan.

Menurutnya, Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah hadir awal untuk laksana pemantauan dan penyediaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sementara.

“Hasil pemeriksaan, pergerakan tanah masih berlaku dan jalan itu akan ditutup dari persimpangan Jalan Kulai-Kota Tinggi (ke Felda Ulu Tebrau) sehingga ke Pusat Pelupusan Sampah (SWM) sementara pemeriksaan terperinci dilaksanakan.

“Pemasangan TMP, papan tanda lencongan telah dipasang sebagai hebahan dan pemasangan kanvas dilaksanakan bagi mengurangkan berlaku hakisan yang lebih besar di lokasi kejadian. Tempoh penutupan jalan akan ditentukan selepas pemeriksaan lanjut,” katanya dalam notis hari ini.

Menurut notis itu, cadangan laluan alternatif yang boleh dilalui dari Felda Ulu Tebrau-Jalan Seelong (J02), Jalan Lapangan Terbang Senai (FT16), Jalan Persekutuan Johor Bahru- Air Hitam (FT001), Jalan Kulai-Kota Tinggi (FT94).

Selain itu, Jalan Utama Johor Bahru- Kuantan di Mersing iaitu di FT003 Landmark SM. Anjung Batu (berhampiran Pintu Gerbang Mersing) ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana ditenggelami banjir.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani, memakumkan dua lagi jalan utama iaitu Jalan Ladang Siang J223 di Kota Tinggi dan Jalan Jabi- Bukit Tempurung J516 juga di Segamat masih ditutup kepada semua jenis kenderaan.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, ketiga-tiga jalan ini ditenggelami banjir dan tidak boleh dilalui oleh sebarang kenderaan termasuk kenderaan berat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI