SHAH ALAM – Rata-rata pengusaha gerai dan restoran di negara ini didapati menaikkan harga makanan dan minuman mereka sehingga 40 peratus.
Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, hasil aduan pengguna dengan terdapat peniaga mengenakan caj hingga 60 sen untuk segelas air kosong.
Katanya, aduan mengatakan peniaga menaikkan harga antara 10 hingga 40 peratus dan hasil tinjauan tersebut menunjukkan sub kumpulan makanan dan minuman (bukan alkohol) bagi harga daging dan ayam telah meningkat dengan ketara.
“MPPN berpendapat harga makanan masak dan minuman tidak harus dinaikkan tanpa kawalan meskipun alasan diberikan kerana harga bahan mentah yang tinggi.
“Golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pilihan selain membeli makanan dan minuman di luar akan menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin berat,” katanya dalam kenyataan semalam.
Di Alor Setar, Kedah, Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya turut menerima aduan kenaikan harga makanan di negeri itu antara 10 hingga 30 peratus sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, secara purata pengguna perlu berbelanja sehingga RM10 untuk makan tengah hari bagi menu nasi, lauk dan sayuran setiap orang berbanding cuma RM6 hingga RM7 sebelum ini.
“Nasi ayam pun sudah RM6 berbanding RM5 sebelum ini kalau ada peniaga yang kekalkan harga mereka akan kurangkan sukatan ayam atau nasi.
“Begitu juga kuih-muih, dahulu tiga biji RM1 kemudian lima biji RM2 sekarang sebiji 50 sen. Ada peniaga guna taktik buat bungkusan iaitu empat biji sudah RM2.50 hingga RM3. Nak minta mereka turunkan harga makanan, kata mereka harga bahan mentah tak turun pun,” katanya.
Beliau menambah, peniaga juga berada dalam dilema untuk menjual makanan dan minuman pada harga rendah melihat kepada kos bahan mentah yang didakwa mereka masih tinggi.
Di Melaka, Timbalan Presiden Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia, Azlin Othman berkata, berlaku kenaikan antara RM2 sehingga RM5 bagi sepinggan menu makan tengah hari.
“Kita ada terima aduan harga makanan di negeri ini termasuk sajian asam pedas. Harga sekeping ikan asam pedas sama ada mayong, tenggiri atau pari naik mendadak antara RM7 hingga RM8 tidak termasuk nasi.
“Ayam goreng juga begitu walaupun ia hanya potongan kecil tetapi peniaga menjualnya pada harga tidak masuk akal hingga RM5 seketul. Ini sudah keterlaluan,” katanya.