LONDON – Penyerang England, Harry Kane kini menyamai rekod legenda Tottenham Hotspurs, Jimmy Greaves sebagai penjaring terbanyak kelab itu dengan mengumpul 266 gol.
Rekod itu berjaya disamakan selepas meledak gol kemenangan ketika Spurs menewaskan Fulham 1-0 di Craven Cottage, awal pagi semalam dan dia melakukannya dalam 415 penampilan.
Ketika ini, Kane hanya memerlukan satu lagi gol untuk atasi rekod Greaves, selain muncul pemain England ketiga yang mengumpul 200 gol dalam saingan Liga Perdana Inggeris, sekali gus menyertai Alan Shearer (260 gol) dan Wayne Rooney (208 gol).
“Ia perlawanan yang sukar, namun cukup penting untuk kami meraih tiga mata. Setelah apa yang kami lalui, ia menjadi minggu yang sukar buat Spurs, tetapi kemenangan 1-0 dan kekal tanpa bolos jadi keputusan baik untuk kami.
“Kami mahu kembali kepada perkara asas dan cuba mempertahankan gawang adalah benda paling penting jika pasukan ini mahu berada dalam kelompok yang layak ke Liga Juara-Juara.
“Kami perlu hadapi semua kesukaran, namun kemenangan ini jadi petanda yang bagus buat kami,” katanya.
Untuk rekod, Greaves hanya memerlukan 376 penampilan untuk mengesahkan namanya sebagai penjaring terbanyak Spurs.
Kejayaan kali ini menghidupkan semula harapan Spurs untuk cuba menamatkan musim di kelompok empat teratas, kini mengumpul 36 mata, hanya dipisahkan tiga mata berbanding Manchester United dan Newcastle United di tempat ketiga serta keempat. – AGENSI