fbpx

Dua beranak terkejut lubang besar depan rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG anggota bomba memantau lubang besar di hadapan sebuah rumah di Kampung Berchang Baru, Lubuk Kulit di Lipis semalam.

LIPIS – Dua beranak mengalami kejadian mencemaskan apabila mendapati lubang besar terbentuk di hadapan pintu rumah mereka di Kampung Berchang Baru, Lubuk Kulit dekat sini semalam.

Penghuni rumah, Zaili Abu Bakar, 47, berkata, dia menyedari kejadian tersebut setelah dimaklumkan anaknya, Muhammad Fakrurozee Abd Rauf, 21, yang mendapati lubang yang agak besar seperti kawah di hadapan pintu rumah pada pukul 5 petang.

“Sebelum saya keluar bekerja pagi semalam dan kemudiannya pulang, keadaan di hadapan pintu masih tidak wujud sebarang lubang.

“Petang semalam anak saya yang baru pulang dari Kuala Lumpur bertanya saya hendak buat apa dengan ‘lubang besar’ di hadapan pintu rumah ini,” katanya di Kampung Berchang Baru dekat sini hari ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, kemungkinan kejadian itu disebabkan mendapan tanah dan dia sebelum ini terdengar bunyi di luar, tetapi masih tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah diberitahu anaknya.

“Bimbang dengan risiko keselamatan keluarga mana tahu berlaku mendapan yang lebih besar, saya terus menghubungi anggota bomba untuk meminta bantuan.

“Sejak petang semalam mendapan ini dilihat semakin besar hingga mencecah ukur lilit lima meter dan kedalaman sehingga 1.5 meter. Cuma hari ini tidak ada lagi mendapan dan air di dalam tanah juga sudah kering,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon Tiga, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Shahrul Nizam Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.19 petang semalam dasepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis bergegas ke tempat kejadian.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah pun dimaklumkan dan sehingga ini sedang membuat pemeriksaan lanjut mengenai punca kejadian serta tindakan penambahbaikan akan dilakukan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI