JAKARTA – Seekor buaya yang bertindak menghantar jasad seorang kanak-kanak lelaki ke Sungai Mahakam, Kutai Kartanegara, Kalimantan tidak akan dipindahkan ke tempat lain, lapor portal berita Detiknews kelmarin.
Menurut Balai Konvervasi Sumber Daya Alam (BKSDA), buaya muara tersebut dikatakan tidak dipindahkan kerana wilayah itu sudah menjadi habitatnya sejak sekian lama.
“Tidak ada perpindahan kerana tempat itu (adalah) habitat buaya. Sebelum kita ada, haiwan itu sudah pun ada dan kerana sudah ada di situ agak susah untuk memindahkannya,” jelas Ketua BKSA, Matheas Ari Wibawanto.
Sebelum ini, jasad seorang budak lelaki, Muhammad Ziyad Wijaya berumur empat tahun dihantar oleh seekor buaya setelah dia lemas di perairan tersebut pada Jumaat lalu.
Video yang menunjukkan haiwan itu menghantar jasad budak tersebut tersebar menerusi telefon dan media sosial dengan menunjukkan buaya berkenaan berenang serta membawa jasad Ziyad di atas kepalanya.
Ari menyatakan terdapat ratusan buaya dengan berbagai saiz yang berada di sungai tersebut malah jumlahnya melibatkan ratusan ekor dan beliau juga menekankan agar masyarakat setempat tetap waspada ketika melakukan aktiviti di lokasi itu. – Agensi