fbpx

Belanja ribuan ringgit demi kucing jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAMILAH memberikan makanan kepada haiwan peliharaannya di flat Taman Bumi Cemerlang, Bentong.

BENTONG – Kenaikan kos sara hidup tidak menghalang seorang wanita untuk memelihara kucing jalanan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.

Meskipun perit kerana perlu mengeluarkan belanja lebih RM1,000 sebulan untuk membeli makanan kucing, Jamilah Zakaria, 49, tetap meneruskan aktiviti tersebut.

Pekerja kantin sekolah itu berkata, dia turut membelanjakan ribuan ringgit untuk membina rumah kucing.

“Kalau difikirkan kos memang agak perit, namun saya kasihan melihat kucing jalanan yang kelaparan atau sakit.

“Saya mula memelihara kucing-kucing ini sejak PKP selepas lihat banyak haiwan kelaparan merayau di tempat pembuangan sampah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurutnya, ketika ini dia memelihara lebih 40 ekor kucing di dalam sangkar yang dibina dan selain haiwan jalanan di flat Taman Bumi Cemerlang.

“Setiap hari saya akan memberikan makanan kering, manakala ikan rebus pula diberikan pada sebelah petang.

“Saya membelikan lebih 20 kilogram makanan kering setiap bulan. Jika sakit, haiwan-haiwan ini akan dibawa ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Biasanya makanan dibeli menggunakan wang sendiri selain sumbangan individu yang prihatin dengan kucing.

Sementara itu, Mohamad Khazeri Hashim, 52, berkata, dia menyokong usaha isterinya memelihara kucing jalanan.

“Jika kelapangan, saya sendiri akan membantu menguruskan kucing-kucing termasuk membersihkan ‘rumah’ kucing.

“Kalau diikutkan agak terbeban dari segi kos, namun kami tidak sampai hati membiarkan kucing-kucing ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI