KUALA SELANGOR – Sebuah keluarga terkejut menemui seekor ular sawa batik seberat 15 kilogram (kg) di dalam sangkar kucing peliharaan mereka di Batu 3 di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu disedari pemilik rumah yang melihat reptilia sepanjang lima meter berkenaan bersama kucing tersebut.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Selangor berkata, seramai empat anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 3.20 pagi.
Katanya, setiba di lokasi kejadian mendapati ular jtu berada di bahagian bawah manakala seekor kucing di atas sangkar yang diletakkan di luar rumah tersebut.
“Anggota kami mengambil masa selama 12 minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan peralatan khas.
“Kucing berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” ujarnya.
Tambah jurucakap itu, ular berkenaan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut. – KOSMO!ONLINE