MELBOURNE – Pemain pilihan ketiga, Stefanos Tsitsipas membuktikan keupayaan sebenar dalam usaha menjuarai trofi Grand Slam buat kali pertama selepas mara ke peringkat suku akhir Terbuka Australia dengan menewaskan Jannik Sinner kelmarin.
Pada aksi pusingan keempat itu, Tsitsipas terpaksa bermandi peluh sebelum dapat menyingkirkan Sinner menerusi pertarungan lima set dengan keputusan 6-4, 6-4, 3-6, 4-6, 6-3 dalam tempoh lebih empat jam.
Menurut Tsitsipas, keputusan tersebut sudah pasti melonjakkan lagi motivasinya bagi meneruskan momentum cemerlang di kelompok lapan terbaik apabila dijadualkan menentang pemain kurang ternama, Jiri Lehecka hari ini.
“Ini adalah perlawanan yang cukup sukar dengan cabaran yang diberikan oleh Sinner sangat luar biasa apabila dia berjaya bangkit daripada ketinggalan dua set. Namun, saya menggunakan segala pengalaman yang ada untuk menang pada set penentuan.
“Secara peribadi, saya cukup selesa sepanjang berada di Australia dengan sokongan yang diberikan oleh penyokong cukup baik dan kini sudah tentu saya mahu merealisasikan hasrat untuk melangkah jauh pada kejohanan ini,” kata atlet kelahiran Greece berusia 25 tahun itu.
Sementara itu, Lehecka yang menduduki ranking ke-71 dunia harap dapat terus mencipta kejutan pada kempen kali ini selepas terlebih dahulu menyingkirkan beberapa pemain pilihan seperti Felix Auger-Aliassime, Cameron Norrie dan Borna Coric.
“Sudah tentu rahsia saya adalah untuk kekal tenang pada setiap perlawanan memandangkan saya bukanlah pemain pilihan. Situasi tersebut memberi kelebihan buat saya tampil lebih agresif di atas gelanggang,” katanya. – AGENSI