KIEV, Ukraine – Sebuah badan amal berusaha menyelamatkan seekor singa jantan yang ditinggalkan sendirian di sebuah zoo selepas pemiliknya meninggal dunia, lapor akhbar Daily Star.
Ruben adalah haiwan terakhir di zoo berkenaan yang terletak di sempadan Armenia-Azerbaijan. Zoo itu ditutup selepas pemiliknya iaitu seorang oligarki Russia, meninggal dunia.
Singa itu hidup terasing di dalam sangkar sejak lima tahun lalu dan sekian lama tidak ditemani singa lain sehingga ia terlupa bagaimana untuk mengaum. Raja Rimba itu hanya sekali-sekala mengeluarkan bunyi dengusan yang menyedihkan.
Jan Creamer daripada badan amal ADI Wildlife Sanctuary menjelaskan bahawa semua haiwan lain dari zoo sama, berjaya diselamatkan selepas pemiliknya meninggal dunia.
“Malangnya, tiada ruang untuk Ruben. Singa tinggal dalam kumpulan dan perbuatan mengaum umpama perbualan antara mereka.
“Ia masih cuba mengaum. Ruben tidak pernah merasakan kehangatan cahaya matahari atau tiupan angin di mukanya,” kata Creamer.
Ruben berusia kira-kira 15 tahun dan pengabaian telah menyebabkan kesihatannya berada dalam keadaan teruk dengan rambut kusut dan giginya rosak.
Zoo itu akhirnya ditutup dan keluarga bekas pemiliknya gembira kerana Ruben dapat diselamatkan. Akan tetapi, operasi untuk memindahkannya terpaksa dirahsiakan dan dirancang dengan teliti bagi mengelakkan ketegangan di kawasan perang.
“Adalah penting untuk kita membawa Ruben ke Afrika Selatan secepat mungkin,” kata Creamer
Ruben dijangka melakukan perjalanan ke Afrika Selatan pada Mac depan. Di tempat perlindungan baharu kelak, Ruben akan mempunyai habitat semula jadi dan boleh bertebaran apabila pergerakannya bertambah baik. – Agensi