fbpx

Saya tak layak digelar ustaz – Lah Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LAH AHMAD

MULA mencipta nama bersama kumpulan V.E sekitar 1997, perjalanan kerjaya seni penyanyi Lah Ahmad tidak semudah yang disangka.

Pernah mengalami zaman kejatuhan selepas keluar daripada kumpulan itu pada 2014 menjadikan Lah lebih muhasabah diri dan berhijrah mendalami agama.

Memilih untuk menyanyikan lagu-lagu dakwah, Lah bagaimanapun berkata, dia masih belum layak untuk digelar ustaz atau dijadikan rujukan berkaitan ilmu agama.

“Saya ambil keputusan bergerak solo sekitar tahun 2014, masa itu kehidupan agak sukar dan tidak banyak dapat undangan nyanyian.

“Saya guna masa senggang untuk perbaiki diri dan mendalami ilmu agama. Saya juga mula mencipta lagu-lagu ketuhanan dan ketika itu saya fikir untuk berhenti sahaja menyanyi.

SEMAKIN seronok berlakon, Lah akui mahu serius dalam bidang tersebut.

“Kemudian saya hantar lagu ciptaan sendiri kepada Inteam, mereka pujuk dan yakinkan saya untuk menyanyi semula.

“Alhamdulillah rezeki dalam bidang muzik kembali semula dan kali ini dari sudut berbeza. Cuma saya tidak mahu dilabel ustaz gara-gara penghijrahan ini.

“Ada juga peminat yang bertanya tentang perkara-perkara agama, jika secara asas mungkin saya boleh jawab tapi lebih elok bertanya kepada ahli agama yang betul-betul bertauliah,” ujarnya.

Kata penyanyi lagu Kenapa itu lagi, ilmu agama yang dipelajari cukup sekadar untuk dirinya sebagai ketua keluarga.

Seronok berlakon

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan terkini, Lah atau nama sebenarnya Abdullah Ahmad berkata, dia semakin serius untuk melebarkan sayap sebagai pelakon.

Lah yang baru sahaja keluar dengan telefilem berjudul Mahligai Belum Terbakar di TV2 pada Ogos tahun lalu mengakui mula meminati bidang lakonan.

“Tahun ini saya rancang untuk terima banyak tawaran berlakon. Saya terlibat dengan drama pertama sekitar 2015 tapi hanya watak sampingan.

“Tahun lalu pengarah Rashid Sibir panggil saya untuk berlakon dalam drama siri Bila Syaitan Berbisik. Kemudian saya terima lagi tawaran watak utama dalam telefilem Mahligai Belum Terbakar.

“Boleh dikatakan tahun ini saya mahu serius untuk cuba dalam bidang ini kerana saya rasa cabaran berlakon dengan menyanyi tidak jauh beza,” ujarnya.

KONSERT sulung dapat sambutan hangat peminat pada 28 Januari ini, Lah tambah sehari lagi pada 29 Januari.

Sementara bercakap tentang penganjuran konsert 25 Years Lah Ahmad Live In Concert, selepas jualan tiket licin untuk hari pertama yang akan berlangsung pada 28 Januari ini, Lah terpaksa menambah satu hari lagi iaitu 29 Januari untuk peminatnya.

Konsert yang akan berlangsung di Stage 1 Theatre, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) menyaksikan Lah akan menyanyikan 20 buah lagu termasuk dalam album baharu, Jatuh.

“Saya bersyukur dan tidak sangka ramai yang berminat untuk datang menyaksikan konsert sulung saya ini.

“Ini memang impian saya sejak dahulu mahu adakan persembahan sendiri terutama pada ulang tahun ke-25 berada dalam industri seni tanah air.

“Saya berharap penonton konsert akan terhibur dan mengimbau kembali zaman-zaman muda mereka dahulu. Bagi yang sudah berkahwin mungkin dapat kembalikan kenangan sewaktu mereka bercinta,” ujarnya.

Tiket konsert boleh didapati menerusi laman onetix.com.my dengan harga bermula RM120 hingga RM330.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI