fbpx

Ramai peniaga naikkan harga makanan sehingga 40 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Rata-rata pengusaha gerai dan restoran di negara ini didapati menaikkan harga makanan dan minuman sehingga 40 peratus.

Pengerusi Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, ia hasil aduan para pengguna di mana terdapat peniaga mengenakan caj hingga 60 sen bagi segelas air kosong.

Katanya, penguatkuasaan tegas mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011 perlu dilakukan bagi membendung kenaikan harga makanan dan minuman yang disifatkan melampau.

“Aduan diterima mendapati peniaga menaikkan harga antara 10 hingga 40 peratus. Kuasa dan suara pengguna perlu diaktifkan dengan pengguna wajar bertindak sekiranya berlaku salah laku peniaga supaya tidak menjadi mangsa eksploitasi.

“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pengguna harus digembleng untuk melakukan pemantauan dan mendedahkan amalan pencatutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, gesaan menguatkuasakan AKHAP 2011 itu juga diputuskan berdasarkan tinjauan harga purata makanan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ujarnya, hasil dapatan tinjauan tersebut menunjukkan sub kumpulan makanan dan minuman (bukan alkohol) bagi harga daging dan ayam telah meningkat dengan ketara.

“MPPN berpendapat harga makanan masak dan minuman tidak harus dinaikkan tanpa kawalan meskipun alasan diberikan kerana harga bahan mentah yang tinggi.

“Golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pilihan selain membeli makanan dan minuman di luar akan menghadapi tekanan kos sara hidup yang semakin berat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI