fbpx

Penduduk tak sangka rumah tenggelam paras pinggang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAINON (kanan) bersama ibunya, Azizah ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat TDU, Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Penduduk di Jalan Balau 2, Taman Desaru Utama (TDU) di sini tidak menyangka kediaman mereka ditenggelami air sehingga paras pinggang dalam kejadian banjir hari ini.

Seorang penduduk, Zainon Omar, 51, berkata, keadaan cuaca hujan sejak malam tadi dipercayai menjadi punca berlaku banjir di taman itu.

Katanya, dia yang menjaga ibunya, Azizah Khamis, 76, turut terpaksa memapah wanita itu bersama suami dan anak-anak meredah banjir selepas mendapati air mula memenuhi ruang parkir kereta.

“Hari ini saya sudah mula bekerja tetapi dalam masa sama sentiasa tanya perkembangan di rumah dengan anak-anak. Pukul 12 tengah hari anak memaklumkan air sudah mulai naik di hadapan rumah.

“Saya terus bergegas balik mengambil barang baju ibu serta dokumen penting keluarga kerana mahu cepat berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana memikirkan keadaan ibu yang uzur.

“Saya memang tak bawa apa-apa pakaian kerana sangka banjir ini sekejap sahaja dah surut tetapi kami dimaklumkan bahawa petang ini berlaku air pasang besar selain keadaan cuaca yang masih hujan,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Muafakat Taman Desaru Utama (TDU), hari ini.

Zainon berkata, banjir yang berlaku itu merupakan kali ketiga dan paling teruk yang menimpa keluarganya sejak menetap di situ dimana yang pertama berlaku pada tahun 2021 manakala yang kedua pada Disember tahun lalu dan ketiga hari ini.

“Baru sebulan lebih kami hadapi banjir. Hari ini kami sekali lagi diuji. Banjir Disember lalu kami kerugian kira-kira RM3,000 kerana barang perabot yang rosak.

“Kali ini kami tidak tahulah keadaan barang-barang dalam rumah kerana saya dimaklumkan jiran-jiran air sudah paras pinggang berbanding paras betis sahaja banjir sebelum ini,” ujarnya lagi.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Md. Johari Dol, 67, berkata, kawasan perumahan itu mula dinaiki air pada pukul 7 pagi susulan hujan lebat sejak malam.

Namun, katanya, air mulai surut pukul 9 pagi apabila hujan berhenti sebelum air mula naik selepas hujan kembali lebat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI