KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) mencatatkan jumlah rampasan sebanyak RM64,771,707 dalam operasi bersepadu yang dijalankan dari 1 hingga 20 Januari lalu.
Menerusi 35 serbuan, seramai 88 individu ditahan yang terdiri daripada 73 warga tempatan dan 15 warga asing dalam operasi di seluruh negara bagi membendung jenayah kontraban dan pelbagai jenayah yang lain.
Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, operasi bersepadu yang dijalankan melibatkan agensi penguatkuasaan Wildlife Crime Bureau (WCB) dan Perisikan Siasatan Khas (PSK).
“Rampasan tertinggi direkodkan melalui Akta Kastam 1967 sebanyak RM42,872,703, diikuti Akta Kawalan Bekalan 1961 bernilai RM10,769,704 dan Akta Bahan Letupan 1957 bernilai RM7,724,000
“Rampasan selebihnya mengikut Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 bernilai RM2.2 juta, seterusnya rampasan mengikut Akta Hidupan Liar 2010 sebanyak RM1.2 juta, dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan bernilai RM5,200 ,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Noorsiah, PDRM melalui JKDNKA akan terus memacu langkah ke hadapan dengan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain dalam memerangi jenayah kontraban dan pelbagai kesalahan lain.
Justeru itu, kerjasama daripada orang ramai juga amat digalakkan bagi menyalurkan maklumat kepada PDRM untuk diambil tindakan. – KOSMO! ONLINE.