KUALA LUMPUR – Aliran trafik di tiga lebuh raya utama dijangka sesak sehingga malam ini susulan jumlah kenderaan memasuki lebuh raya kini sudah mencapai lebih 1 juta.
Bagaimanapun, trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan dijangka meningkat sehingga 2 juta serta Lebuh Raya Karak Kuala Lumpur (KLK) sebanyak 200,000 dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) berjumlah 150,000.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi, Lebuh Raya Utara-Selatan mencatatkan sebanyak 1,181,805 kenderaan menggunakan laluan tersebut.
“Sementara itu, di LPT1 sebanyak 115,158 kenderaan diikuti lebuh raya KLK sebanyak 160,088 kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mat Kasim, lima laluan di lebuh raya dijangka sesak menjelang petang dan berlarutan sehingga tengah malam.
“Laluan tersebut antaranya pintu masuk utama ke pusat Bandar seperti Tol Gombak (Timur) dan Plaza Tol Sungai Besi (Selatan) serta Lebuhraya Karak-Bentong dari arah Tol Bentong menghala ke Kuala Lumpur (Pertambahan kenderaan dan mendaki).
“Selain itu, Lebuhraya PLUS Slim River, Lebuhraya PLUS Changkat Jering-Ipoh (Pertambahan kenderaan dan mendaki), serta Lebuhraya ELITE Shah Alam-Sepang-Nilai (Pertambahan Kenderaan),” ujarnya.
Justeru, Mat Kasim menasihatkan semua pengguna jalan raya agar memandu dengan berhati-hati memandangkan musim hujan dan keadaan jalan yang licin.
“Jangan menggunakan lorong kecemasan dan jadilah pemandu berhemah, sentiasa bersabar dan bertolak ansur antara satu sama lain,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.