fbpx

Kebangkitan rakyat gugat rejim Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita berdiri di atas kereta ketika orang ramai berjalan menuju ke kawasan perkuburan di Saqez, yang menempatkan jasad Mahsa pada 26 Oktober 2022. – AFP

TEHERAN – Pergolakan di Iran masih berterusan dengan pakar-pakar memberi amaran bahawa kebangkitan rakyat kini semakin menggugat rejim pemerintah, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.

Ketika penindasan berlaku yang melibatkan beratus-ratus pembunuhan, penahanan beramai-ramai serta empat hukuman mati yang dilaksanakan berkaitan dengan protes di seluruh negara baru-baru ini, tunjuk perasaan masih berlaku di negara itu namun, dalam bentuk berbeza.

“Proses revolusi kebiasaannya melibatkan fasa-fasa yang agak tenang sebelum kekacauan sebenar berlaku,” kata seorang pakar sains politik daripada Universiti Amerika Beirut, Ali Fathollah-Nejad.

Menurutnya, meskipun ketika ini terdapat penurunan relatif dalam jumlah demonstrasi, Iran berada dalam keadaan ‘buntu’, sama ada di pihak pemerintah atau rakyat.

“Pergolakan bagaimanapun akan menjadi semakin buruk ketika krisis ekonomi negara semakin mendalam,” kata Ali.

Protes seluruh negara di Iran dicetuskan oleh kematian seorang gadis bernama Mahsa Amini, 22, pada 16 September tahun lalu ketika berada dalam tahanan polis moral negara itu.

Mahsa sebelum itu ditangkap kerana tidak memakai tudung dengan sempurna.

Protes yang pada awalnya berkisarkan kematian gadis berkenaan kemudian merebak di seluruh negara sehingga mencabar kedudukan rejim Republik Islam Iran, yang sememangnya kurang popular dalam kalangan sebahagian besar penduduk.

“Ditambah lagi dengan keadaan mata wang Iran yang mengalami susut nilai, kita meramalkan protes akan berkembang kepada isu ekonomi, di mana sejarah (Iran) sebelum ini telah membuktikan bahawa ia boleh bertukar kepada pergolakan politik,” jelas Ali.

Berjuta-juta rakyat Iran kini semakin tertekan apabila mata wang negara itu, rial, merosot dengan teruk dalam tempoh beberapa bulan dan tahun kebelakangan ini.

Rial jatuh ke paras terendah dalam sejarah negara itu dengan merekodkan kadar 370,000 rial (RM37.87) berbanding dolar Amerika Syarikat Disember tahun lalu.

Berdasarkan data pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Norway, Iran Human Rights, sekurang-kurangnya 481 orang maut dan sekurang-kurangnya 109 lagi berisiko dijatuhi hukuman bunuh akibat protes tersebut.

Sehingga kini, empat lelaki telah dihukum bunuh. Pihak berkuasa Teheran berkata, ada antara anggota keselamatan turut terkorban dalam siri protes itu selain mengecam tindakan ganas yang didakwa dimulakan oleh ‘kuasa asing’.

Pengasas bersama sebuah NGO hak asasi manusia, Pusat Abdorrahman Boroumand, Roya Boroumand berkata, siri protes itu kini berkurang disebabkan rakyat lebih berhati-hati.

“Namun, ia belum berakhir,” ujarnya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI