fbpx

Jalan sesak, wanita nyaris bersalin dalam kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota polis trafik mengiringi sebuah kereta yang dinaiki seorang wanita yang sarat mengandung ke HRPZ II, Kota Bharu, semalam. FOTO IHSAN POLIS

BACHOK – Dua anggota polis trafik bertindak pantas mengiringi kereta dinaiki wanita yang sedang sarat mengandung ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya di Jelawat di sini, ke hospital semalam, sekali gus mengelakkannya daripada bersalin di dalam kereta.

Kereta jenis Proton Wira dipandu suami wanita itu dilihat memandu secara melulu dan memotong di garisan berkembar kira-kira pukul 7 malam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, dua anggota trafik yang baru sahaja selesai menjalankan Op Selamat di Jelawat melihat insiden itu terus menahan kereta tersebut.

Katanya, semasa menjalankan soal siasat, pemandu kereta yang berusia dalam lingkungan 30-an memaklumkan isterinya sedang sakit untuk bersalin.

“Dua anggota trafik itu mengiringi kereta itu ke Klinik Kesihatan Gunong di sini untuk mendapatkan bantuan ambulans. Semasa tiba di klinik itu, ambulans didapati telah keluar untuk membawa pesakit lain ke hospital.

“Keadaan ketika itu menyebabkan dua anggota polis itu terus bertindak mengiringi kereta terbabit sejauh 20 kilometer ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, ekoran bimbang wanita tersebut bersalin di dalam kereta,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.

Menurut Shuhaimi, pasangan suami isteri itu selamat tiba di HPRZ II kira-kira pukul 8 malam sebelum wanita terbabit dibawa ke wad bersalin.

Katanya, beliau menghargai tindakan pantas anggota polis yang prihatin dan cakna membantu orang awam pada Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina.

Tambahnya, meskipun sibuk dengan tugasan mengawal kesesakan trafik, anggota polis juga sentiasa diingatkan agar melakukan khidmat sosial apabila masyarakat menghadapi masalah di jalan raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI