PUTRAJAYA – Golongan Muslimah tempatan sebenarnya boleh memohon perceraian daripada suami jika lelaki berkenaan menyebabkan berlaku mudarat kepada wanita tersebut.
Menurut hantaran infografik Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) disiarkan menerusi laman sosialnya, ada empat situasi membolehkan si isteri itu berbuat demikian.
Antara kemudaratan tersebut ujar agensi berkenaan, ialah apabila suami itu gagal untuk menyediakan hak-hak ke atas isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik dan tempat tinggal.
“Harus juga cerai jika si suami berperangai fasiq seperti melakukan amalan syirik, tidak solat atau tidak berpuasa Ramadan dan isteri itu sudah lama bersabar menasihatinya,” kata Jawi.
Mengulas lanjut, Jawi berkata, isteri turut boleh menuntut fasakh sekiranya suaminya didapati bermusafir terlalu lama seperti lebih enam bulan tanpa ada sebarang pun khabar berita.
“Situasi berkenaan disebabkan kebimbangan si isteri tersebut berasa takut bahawa dirinya pula tidak mungkin dapat mengawal fitnah iaitu keperluan syahwatnya,” jelas agensi itu.
Turut diharuskan ialah keadaan apabila suami itu bertindak menghina termasuk memukul tanpa sebab, melaknat atau memaki hamun pasangannya dengan bahasa yang kesat.
Jawi menerusi keterangan ringkasnya menyatakan bahawa empat situasi itu harus setelah suami tidak mahu melafazkan talak walhal isteri tidak sanggup lagi meneruskan perkahwinan.
Meskipun hal perceraian berada di tangan suami, ajaran Islam masih membolehkan keadaan tertentu untuk isteri memohon cerai sebagai jalan keluar daripada ikatan hubungan itu.
Walau bagaimanapun, ia dibuat selepas segala usaha bagi menyelamatkan rumah tangga menemui jalan buntu dan perceraian diharapkan menjadi penamat daripada diteruskan.
Pada masa yang sama, Jawi turut menyarankan suami isteri agar sentiasa bersabar dan banyak bermuhasabah sesama sendiri supaya perkahwinan mereka terus lama berkekalan. – KOSMO! ONLINE