Kita dapat lihat rona merah terus menyemarakkan landskap fesyen antarabangsa dan tempatan sejak sekian lama. Pereka bereksperimentasi dengan segala rona merah seperti merah ungu, merah lembayung, ceri, delima dan mawar.
Semuanya menampilkan rekaan pakaian dan aksesori dalam variasi rona merah yang cukup hebat, dramatik, anggun, romantik, feminin serta penuh keterampilan.
Sudah sampai masanya anda menyimpan gaun hitam dan menggantikannya dengan gaun merah sebagai kunci utama penampilan pada musim ini.
Pilihan pakaian dan aksesori yang menarik perlu dicuba dalam rona merah adalah seperti blazer potongan klasik, kot, seluar, baju panas turtleneck, skirt kembang, kasut tumit tinggi serta but.
Padankan pakaian rona merah anda dengan warna terang atau gelap yang lain untuk gaya berani dan feminin. Anda juga boleh padankan baju panas (sweater) rona merah dengan seluar kegemaran seperti jean kelabu-biru untuk gaya santai.
Bagi memberi impak pada penampilan, variasi rona merah menjadi pilihan pada pakaian, aksesori dan alat solek.
Rona merah lebih hebat apabila digandingkan dengan hitam, jingga, merah muda terang dan perang.
Rona merah adalah warna untuk wanita yang yakin dengan potensi dan kredibiliti diri.
Ia juga adalah interpretasi berani wanita kontemporari yang mahu cemerlang dalam segala lapangan diceburi.
Bangkitkan emosi
Rona merah adalah warna yang cukup terang dan kontras. Ia dapat membangkitkan pelbagai emosi jika dibandingkan dengan warna lain (ia bakal mencuri perhatian ramai).
Oleh itu, jika tidak cukup yakin dan selesa dengan warna ini, mungkin anda perlu elakkan trend ini.
Anda cuba dahulu sedikit demi sedikit warna ini dalam penampilan sehingga rasa cukup selesa untuk menggayakannya secara keseluruhan.
Sentiasalah eksplorasi dan eksperimentasi untuk mendapatkan hasil yang paling sempurna bagi setiap individu.
Serikan wajah
Bagi gaya parti atau majlis tertentu, gayakan gaun parti dan skirt merah dalam fabrik tulle ala Dior untuk lebih anggun serta feminin. Rona merah yang sesuai juga boleh menyeri dan menyerlahkan lagi wajah dan tona kulit.
Cuba gayakan reka corak dalam rona merah supaya kelihatan lebih ceria dan segar pada penampilan.
Gaya maskulin
Bagi yang gemarkan elemen gaya maskulin, dapatkan kemeja kotak-kotak rona merah dan padankan dengan jean biru serta but atau pumps untuk suntikan feminin. Anda juga boleh cuba padanan kot atau blazer merah dengan kemeja-T putih dan skinny jean serta kasut pumps sebagai pelengkap gaya.
Kasut but rona merah cukup stylish dipadankan dengan jean biru dan baju panas high-neck dalam rona krim.
Aksesori ringkas
Untuk gaya jalanan yang hip, dapatkan hoodies saiz besar dalam rona merah. Gaya ini kontemporari dan hebat dengan konsep hyper haute.
Tidak perlu aksesori yang berlebihan dengan gaya ini, cukuplah dengan aksesori ringkas dan paling minimum supaya rona merah menjadi fokus penampilan.
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka,
Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor