PETALING JAYA – Pelakon Puteri Sarah Liyana hilang kata-kata apabila anak sulungnya, Syaikhul Islam bertanya tentang kebenaran perkahwinan kedua bapanya, Syamsul Yusof.
Tanpa mendedahkan bagaimana anaknya mengetahui hal tersebut, Puteri Sarah, 38, berkata dia tidak sepatutnya menanggung beban untuk menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh Syamsul.
“Pulang daripada sesi fotografi, Syaikhul bertanya ‘betulkah ayah sudah berkahwin lain dan sebab itu lama tidak pulang ke rumah? Kenapa ayah ada orang lain?’
“Bagaimana hendak menjawab dengan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun? Saya hilang kata-kata?” katanya dalam satu perkongsian InstaStory semalam.
Dalam coretan sama, Puteri Sarah menyelar alasan yang pernah disebut suaminya ketika membuat pengakuan sudah berkahwin kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand pada 6 Januari lalu.
“Kepada lelaki-lelaki penting diri di luar sana, isteri hendak jawab apa kepada kanak-kanak ini?
“Hendak jawab ‘ayah kahwin sebab nak elak maksiat dan ikut suruhan Allah SWT?’ sama seperti yang awak katakan dalam video?
“Adakah momen menjawab dengan anak selama satu hari berlaku pada awak? Tidak!” ujarnya.
Dia turut berpendapat tindakan Syamsul yang mendirikan rumah tangga secara rahsia di Thailand adalah mementingkan diri tanpa mempedulikan individu lain termasuk anak-anak.
“Awak cuma fikir nafsu dan ikut kepala otak awak sahaja.
“Ada terfikir nak jawab apa pada anak mengenai kahwin di Thailand?
“Kaum lelaki di luar sana, sebelum hendak perjuangkan konon poligami itu sunnah, belajar semula agama Islam dan dikir apakah akibatnya,” katanya lagi.
Terdahulu, kisah mengenai kemelut rumah tangga Puteri Sarah dengan Syamsul semakin memuncak apabila pengarah filem Mat Kilau itu mengakui secara terbuka sudah menikahi Ira di Thailand berwalikan bapa isteri keduanya iaitu pelakon senior, Kazar Saisi.
Tidak sanggup membiarkan hati terus terluka dan ditipu, Puteri Sarah seterusnya nekad memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 16 Januari lalu.
Meskipun dihambat dengan jutaan kecaman, Ira sehingga hari ini mengambil pendekatan mendiamkan diri daripada mengeluarkan sebarang kenyataan membela dirinya.
Dia sebelum ini juga dikenakan tindakan mahkamah iaitu perintah injuksi interim yang diperintah berhenti meluahkan atau menyebarkan apa-apa bentuk gangguan di sosial media atau di mana-mana platform sama ada dirinya atau yang berkaitan dengan dirinya.
Sekadar info, Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul, 6, dan Sumayyah kini berusia lima tahun.- KOSMO! ONLINE