fbpx

Askar Perancis digesa tinggalkan Burkina Faso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penunjuk perasaan memegang sepanduk ketika melakukan protes mendesak duta perancis dan tenteranya keluar dari Burkina Faso di Ouagadougou, 20 Januari lepas. - AFP

PARIS – Rejim pemerintah Burkina Faso meminta Perancis supaya memindahkan semua tenteranya keluar dari negara itu dalam tempoh sebulan, demikian menurut surat diplomatik daripada pihak berkuasa negara Afrika Barat itu kepada Paris yang diperoleh AFP, kelmarin.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata, Paris sedang menunggu penjelasan daripada Ouagadougou selepas rejim tentera negara itu mahu askar-askar Perancis berundur segera.

Bagaimanapun, beliau menambah, terdapat kekeliruan besar berhubung kenyataan yang dilaporkan dalam media dan berkata, ketua junta tentera Burkina Faso, Ibrahim Traore perlu mengambil pendirian awam.

“Kami sedang menunggu penjelasan daripada Traore,” katanya kepada pemberita.

Surat Kementerian Luar Burkina Faso yang bertarikh Rabu lalu itu menyatakan bahawa ia menamatkan perjanjian pada 2018 yang membolehkan askar-askar Perancis ditempatkan di sana dan menetapkan tarikh akhir selama sebulan untuk tenteranya keluar dari negara berkenaan.

Agensi berita negara Burkina Faso melaporkan mengenai butiran permintaan perpindahan askar Perancis pada lewat Sabtu lalu dan sumber yang rapat dengan kerajaan mengesahkannya kepada AFP.

Menurut sumber tersebut, permintaan itu bukan bermakna hubungan Ouagadougou dengan Paris terputus, sebaliknya ia hanya melibatkan perjanjian kerjasama ketenteraan antara kedua-dua pihak.

Perancis mempunyai 400 askar pasukan khas yang ditempatkan di Burkina Faso yang diperintah junta tentera dengan tujuan memerangi pemberontakan. Namun, hubungan dua negara itu telah merosot dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.

Sejak rejim tentera merampas kuasa pada September tahun lalu, terdapat sejumlah demonstrasi yang menggesa Duta Perancis ke Burkina Faso dan tenteranya keluar dari negara berkenaan. 

Jumaat lalu, penduduk di bandar ibu negara, Ouagadougou memenuhi jalan-jalan utama bagi memprotes kehadiran askar Perancis di negara itu, lapor stesen penyiaran CNN.

Rakaman video protes tersebut menunjukkan peserta tunjuk perasaan membawa papan tanda dengan slogan seperti ‘Askar Perancis, sila nyah dari negara kami’ dan ‘Persahabatan Burkina Russia’. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI