GUA MUSANG – Jalan menghala ke bandar Gua Musang sesak dengan kenderaan ekoran perantau Kelantan mula bergerak pulang ke ibu negara, hari ini.
Tinjauan Kosmo! di Jalan Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis mendapati, bilangan kenderaan mula bertambah selain trafik perlahan terutamanya di kawasan lampu isyarat di bandar Gua Musang.
Seorang pengguna jalan raya, Haida Abdullah, 35, berkata, aliran trafik perlahan di beberapa kawasan dari Kota Bharu menuju ke Gua Musang, namun keadaan masih terkawal.
Katanya, rata-rata pengguna jalan raya mahu pulang ke Kuala Lumpur selepas pulang ke kampung halaman sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
“Saya bertolak dari Kota Bharu pada pukul 7 pagi tadi dan tiba di bandar ini menjelang waktu tengah hari dan sempat berhenti berehat di hentian rehat dan rawat (R&R) Rantau Manis. Didapati kawasan itu penuh dengan kenderaan,” katanya.
Seorang lagi pengguna jalan raya, Mohd. Hisyam Low, 40, berkata, jumlah kenderaan dilihat semakin bertambah menuju keluar Kelantan, namun aliran trafik masih lancar.
Saya rancang bertolak hari ni tapi dengan bilangan kenderaan keluar bertambah, pasti menyebabkan kesesakan lalu lintas,” katanya yang akan kembali bekerja esok. – KOSMO! ONLINE