fbpx

21 ladang babi di Pulau Pinang dijangkiti ASF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KON Yeow (kanan) sedang mendengar penjelasan mengenai wabak ASF yang melanda ladang babi komersil di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di Pulau Pinang semakin merebak dengan 21 ladang babi komersil kini dikesan positif wabak itu, setakat semalam.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kesemua ladang yang dikesan positif penyakit ASF itu terletak di tiga daerah iaitu Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

”Setakat semalam secara keseluruhannya sebanyak 21 ladang babi disahkan positif penyakit ASF dan lokasi ladang adalah di SPU, SPT dan SPS.

”Virus ini cepat merebak dan disebabkan itu banyak ladang dijangkiti penyakit ASF. Setakat ini jumlah babi yang telah dilupuskan adalah kira-kira 4,000 ekor dan kita sedang meneruskan usaha memusnahkan babi-babi yang telah dijangkiti,” katanya di sini, semalam.

Sebelum ini, pada 13 Januari lalu, Pulau Pinang mengisytiharkan wabak ASF di negeri itu sebagai ‘bencana’ selepas kes dilaporkan di 11 ladang babi komersial di daerah SPS dan SPT, melibatkan 25,000 ekor babi.

Pemusnahan dilakukan dengan gas karbon dioksida dan mengikut Kod Amalan Kebajikan Haiwan dan garis panduan Pengurusan Pelupusan Haiwan sebelum bangkai ditanam.

Berdasarkan data bancian Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri terdapat 124 ladang ternakan babi di Pulau Pinang membabitkan jumlah keseluruhan 267,348 ekor babi.

Menurut Kon Yeow, pemilik ladang babi yang terjejas perlu segera melaporkan perkara itu kepada JPV bagi urusan pembayaran pampasan dan pelupusan babi yang terkesan dengan penyakit ASF.

”Pemilik ladang perlu tampil dan bekerjasama dengan JPV untuk urusan pampasan, mereka mesti mengira jumlah babi di ladang masing-masing yang dimusnahkan.

“Mereka mesti sahkan bilangan babi yang terlibat dengan JPV dan mulakan pelupusan, kemudian mereka boleh kemukakan tuntutan pampasan kepada JPV,” katanya.

Tambahnya, adalah menjadi kewajipan untuk pemilik ladang memaklumkan kepada JPV sekiranya ladang babi mereka dikesan positif penyakit ASF. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI