fbpx

1,000 penduduk tertekan hidu baja najis haiwan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. KHAIRUL (kanan) dan Latiff (dua dari kanan) melihat timbunan baja najis haiwan ternakan yang terdapat di ladang buah naga berhampiran Taman Saujana, Kluang semalam.

KLUANG – Kira-kira 1,000 penduduk di Taman Saujana di sini, hidup dalam keadaan resah apabila terpaksa menghidu bau busuk dan ditemani lalat ekoran tindakan pengusaha ladang buah naga yang menggunakan najis haiwan sebagai baja.

Bukan itu sahaja, ladang yang diusahakan di bawah kabel ­elektrik itu juga ‘membunuh’ keselesaan peniaga kedai makan dan pengurusan sebuah hospital swasta berdekatan yang turut dicemari bau busuk berkenaan.

Tinjauan bersama Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Mohd. Khairul Ishak mendapati, longgokan baja najis haiwan ternakan itu hanya ditutup dengan kanvas sebelum di­taburkan ke atas tanaman buah naga seluas kira-kira 0.4 hektar itu.

Katanya, masalah ini sudah dihadapi penduduk kira-kira sebulan lalu dan semakin teruk apabila cuaca panas disusuli hujan serta angin yang menyebabkan baunya tersebar ke kawasan penempatan penduduk.

“Hasil pemantauan juga mendapati, longkang di laluan masuk ke ladang berkenaan di­sekat ­aliran airnya menyebabkan takungan berlaku yang secara tidak langsung menggalakkan pembiakan nyamuk aedes.

“Selain itu, terdapat juga longgokan sampah haram berdekatan pintu masuk ke ladang ber­kenaan dipercayai dibuang oleh orang luar dari kawasan itu yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit bawaan binatang dan unggas kepada penduduk setempat,” katanya.

Susulan itu, Mohd. Khai­rul yang juga Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Sri Kluang berkata, pihak berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar Negeri Johor, Tenaga Nasional Berhad, Pejabat Kesihatan Daerah serta SWCorp diharapkan dapat melakukan siasatan dan tindakan sewajarnya ke atas ladang tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Penduduk Taman Saujana, Latiff Md. Dani berkata, bau busuk itu turut mengakibatkan penduduk berdepan dengan masalah lalat.

Ujarnya, ramai peniaga makanan merungut kerana pe­langgan enggan singgah ke­rana bimbang kehadiran lalat menyebabkan makanan dijual tercemar.

“Penduduk amat berharap tindakan segera boleh dilakukan bagi mengatasi masalah ini kerana tidak mahu perkara lebih teruk berlaku sekiranya dibiarkan berlarutan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI