PETALING JAYA – Kontroversi bagaikan tidak pernah lelah mengekori anak Azhar Sulaiman, Kasih Iris Leona.
Terbaharu, pucuk muda berusia 23 tahun itu didakwa menipu wang seorang wanita bagi menampung kos pengajian di Universiti Bert, England.
Pelik dengan kenyataan tidak masuk akal tersebut, Azhar berasa kasihan dengan situasi yang menimpa anaknya apabila kerap berdepan fitnah daripada individu sakit mental.
“Apalah nasib Leona kena fitnah sebegini. Sakit otak sungguh Nor Azira ni,” luahnya menerusi perkongsian Instagram.
Berdasarkan status yang turut dikongsi semula Azhar, dipercayai tuduhan berkenaan dilemparkan individu sama yang pernah mendakwa anaknya itu menjalin hubungan sulit dengan suami wanita terbabit.
Dalam dakwaan terbaharu, wanita bernama Nor Azira Othman itu turut memetik kerajaan Amerika Syarikat, Britain dan Malaysia supaya menamatkan pengajian pesohor media sosial itu atas dakwaan terlibat dengan satu penipuan.
Bukan sahaja Leona, Azhar seisi keluarga juga didakwa menipu duit ibu kepada wanita sama untuk membeli sebuah kediaman baharu.
“Tolong siasat rumah baharu mereka di Kuala Lumpur.
“Tolong pastikan ibu saya mendapat rumah itu kembali sebab itu duit ibu saya,” kata perempuan berkenaan dalam hantarannya.
Perkongsian Azhar mengundang maklum balas ramai yang terkejut dan menyarankan satu laporan dibuat kepada berkuasa.
“Tak buat report (laporan) ke?” tanya seorang pengikut.
“Saya rasa dah tiba masanya. Report pada MCMC dan polis. Semakin menjadi-jadi,” kata pemilik akaun @gemini_bees.
“US (Amerika Syarikat), UK (United Kingdom) terus, masalah rumah kat Malaysia,” ujar pengguna lain.
Membalas kepada komen ramai yang memintanya membuat laporan, Azhar mengakui tidak terlalu dihimpit rasa bimbang memandangkan mereka mempunyai kenalan yang bekerja di agensi berkenaan.
Sebelum ini, Nor Azira mendakwa Leona pernah bercuti bersama suaminya ketika dia sedang menjaga anak-anaknya di rumah.
Malah, dia meminta anak selebriti itu memulangkan duit yang telah digunakan sepanjang bersama suaminya termasuk bil hotel, bil makanan, tiket penerbangan dan wang berjumlah RM3,000 yang didakwa digunakan Leona setiap bulan.
Bahkan, individu tersebut juga melabel Leona sebagai seorang ‘scammer’ dalam rumah tangganya sejak 2014 lagi.
Dakwaan tersebut bagaimana seperti tidak logik kerana pada ketika itu Leona baru berusia 12 tahun. – KOSMO! ONLINE