fbpx

Wanita maut trak pikap bertembung lori

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan pacuan empat roda yang bertembung dengan sebuah lori dalam kejadian kemalangan maut di Kilometer 57.5 Jalan Ibam-Rompin, semalam.

ROMPIN – Seorang wanita warga emas maut manakala empat lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka hilang kawalan sebelum bertembung dengan lori di Kilometer 57.5, Jalan Ibam-Rompin di sini semalam.

Mangsa yang maut ialah Fatimah Mohd Idris, 77, yang merupakan penumpang belakang kenderaan jenis Nissan Frontier.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azahari Mukhtar berkata, kejadian pukul 11.55 pagi itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah menghala ke Rompin.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan dinaiki mangsa memotong sebuah motosikal dan semasa hendak masuk semula ke laluannya ia hilang kawalan sebelum melanggar lori dari arah bertentangan.

“Akibat kemalangan, penumpang belakang trak pikap itu meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu dan tiga penumpang lain cedera,” katanya di sini hari ini.

Kejadian turut menyebabkan pemandu dan kelindan lori cedera.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk dibedah siasat. Mangsa yang cedera dirawat di hospital sama.

“Berdasarkan siasatan awal, lokasi kejadian adalah jalan lurus dan permukaan basah berikutan hujan renyai,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI