LONDON – Seorang lelaki di Britain mengalami detik sedih dalam hidupnya apabila kematian tunangnya selepas empat hari dia melamar wanita itu, lapor akhbar Daily Star semalam.
Craig McKinnon, melamar teman wanitanya, Jess Prinsloo, di puncak Mpumalanga ketika melancong ke Afrika Selatan pada hujung Disember tahun lalu.
“Ketika berlutut untuk melamar Jess, saya memandang ke arah wajahnya dan benar-benar ikhlas. Dia menjawab ‘ya’ sebelum menangis kegembiraan,” kata Craig.
Tambah Craig, empat hari selepas itu, mereka pergi rumah ibu Jess di Johannesburg pada 30 Disember untuk meraikan pertunangan mereka.
Tanpa disedari, ketika mahu mengacau air teh, Jess menggunakan sudu yang sebelum itu digunakan untuk mengacau susu.
Dalam hanya beberapa saat, wanita itu mengalami reaksi anafilaksis, sejenis reaksi yang boleh membawa maut yang menyebabkan kerongkong tertutup.
Dia kemudian disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya.
Jess sebelum itu diketahui mengalami anafilaksis atau alergik kepada beberapa keadaan termasuk makanan atau minuman bersusu.
“Apabila Jess meninggal dunia, sebahagian daripada diri saya turut mati. Namun, tiada sesiapa yang perlu dipersalahkan kerana kematiannya,” kata Craig. – Agensi