PETALING JAYA – Aliran trafik menuju Pantai Timur dilapor sesak dan perlahan ketika ini susulan orang ramai masih mengambil peluang bercuti sempena Tahun Baharu Cina.
Menerusi perkongsian di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK)@E8, antara yang dilaporkan mengalami kesesakan.
“Trafik perlahan dari Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) menuju ke Plaza Tol Gombak dan Genting Sempah pula menghala ke Bukit Tinggi,” katanya.
Sementara itu, Lebuh Raya Utara-Selatan turut dilaporkan perlahan dari arah utara bermula dari Skudai ke Kulai, Sedenak ke Simpang Renggam, Tangkak ke Jasin dan Senawang ke Port Dickson.
Dilaporkan situasi itu berlaku menghala ke arah Selatan yang mana trafik mula sesak dan perlahan bermula dari Putra Mahkota ke Nilai dan Senawang ke Pedas Linggi.
“Arah Selatan, ia melibatkan susur sebelum masuk ke Plaza Tol Sungai Dua, Jawi ke Bandar Cassia, Slim River ke Sungkai dan Rawang ke Sungai Buaya.
“Ke arah selatan pula, keadaan sama berlaku di Bukit Tambun ke Bandar Cassia dan Permatang Pauh ke Perai,” katanya. – KOSMO! ONLINE